Sunday, November 15, 2009

MAJLIS DIALOG TERBUKA PENDUDUK - POLIS - SEKOLAH BAGI MENANGANI MASALAH PELAJAR DAN REMAJA



Pertama - Program ini telah berjalan lancar seperti mana yang dirancang.

Kedua
- Pihak KRTBTS "A" telah menjadi penggerak utama program ini.

Ketiga
- Wakil sekolah sekolah sekitar Bandar Tasek Selatan serta wakil polis telah hadir dan mereka amat berbangga dengan program "pertama" ini.

Keempat
- Hampir 200 orang ibu bapa hadir bagi berkongsi pandangan bagi menangani masalah yang dibangkitkan.

Kelima
- Sebanyak 3 resolusi telah dipersetujui dan akan didrafkan bagi dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua KRTBTS "A" - PPP - JMB BTS 1

Keenam
- Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat.

Friday, November 6, 2009

MAJLIS JAMUAN RAKYAT MASJID AL-MUQARROBIN




Tarikh
25 Oktober 2009

Hari
Ahad

Masa
1.30 petang - 4.30 petang

Tempat
Dewan Masjid al-Muqarrobin Bandar Tasek Selatan


Majlis Jamuan Rakyat ini adalah anjuran secara bersama di antara Masjid al-Muqarrobin dan anak qaryah.

Seramai 6 orang "orang kuat" Rukun Tetangga telah diberikan kepercayaan oleh anak qaryah untuk berada di dalam Komiti Program.

Jamuan yang dikoordinasikan oleh KRT BTS "A" ini telah berjalan lancar dan telah mendapat sambutan luar biasa dari kalangan penduduk.

Sepanjang 5 tahun masjid ini beroperasi, belum pernah lagi kehadiran melimpah ruah seperti mana Majlis Jamuan Rakyat ini. Menu utama iaitu gulai kawah (2 ekor lembu) telah habis dalam masa satu jam sahaja. Hakikat ini telah menjadi bualan anak qaryah.

Masjid al-Muqarrobin amat berterima kasih kepada KRT BTS "A".

Sunday, October 18, 2009

JAMUAN 'IDUL FITRI 2009 MERAIKAN GOLONGAN ISTIMEWA



Setelah beberapa kali bermesyuarat dan berbincang, akhirnya majlis yang dirancang ini berjaya diadakan.

Majlis kali ke 5 ini telah disertai oleh hampir keseluruhan penduduk yang menetap di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasek Selatan.

Majlis berjalan dengan begitu meriah sekali walaupun bermula agak lewat daripada masa yang telah ditetapkan.

Tetamu kehormat yang hadir amat berpuas hati dengan penganjuran pada kali ini.

Selain daripada jemputan khas, majlis ini turut disertai oleh penduduk berbilang kaum dan kehadiran penduduk bukan Melayu kelihatan sangat ketara.

Sebanyak 50 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada OKU dewasa, OKU kanak kanak, ibu tunggal, ibu tinggal, warga emas dan anak yatim telah menerima sumbangan pada tahun ini.

Terima kasi diucapkan kepada semua yang terlibat termasuk juga para penyumbang dan penderma.

Wednesday, August 19, 2009

EDARAN RISALAH PENCEGAHAN H1N1 KEPADA PENDUDUK


Alhamdulillah. Segalanya berjalan seperti yang dirancang. Walaupun pada asalnya program ini tidak berada di dalam perancangan KRTBTS tetapi atas kesedaran dan rasa tanggungjawab maka program sepontan ini berjaya diadakan.

Risalah yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan itu telah berjaya diedarkan ke semua unit kediaman yang berjumlah 1 440 unit keseluruhannya.

Semua yang terlibat telah memulakan kerja kerja edaran bermula jam 10.30 malam dan berakhir sejam kemudian dengan diketuai sendiri oleh Encik Mohd Fadli Jaini, Pengerusi KRTBTS.

Terima kasih dan tahniah kepada semua yang hadir.

Sunday, August 16, 2009

KRTBTS MEMBANTU GOTONG ROYONG MEMBERSIHKAN MASJID AL-MUQARROBIN


KRTBTS "A" telah turut sama membantu program gotong royong membersihkan Masjid al-Muqarrobin dan kawasan sekitarnya sebagai persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak.

Hampir 70 orang yang terdiri daripada penduduk setempat telah turut serta di dalam program yang bermula seawal jam 9.00 pagi dan berakhir pada sekitar jam 12.45 tengahari.


Pihak Masjid al-Muqarrobin telah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu.

Saturday, August 8, 2009

TAHLIL IHYA RAMADHAN 2009



KRTBTS telah mengadakan program Tahlil Ihya' Ramadhan pada 2 Ogos 2009 yang lalu.

Program ini diadakan secara gotong royong dan telah mendapat sokongan dan kerjasama yang menggalakkan daripada para penduduk.

Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Saturday, June 27, 2009

MOHON MAAF ATAS KEKURANGAN


Maaf dipinta kerana banyak aktiviti tak dapat nak diulas. Hanya dapat siarkan gambar gambar berkaitan program sahaja.

Thursday, June 11, 2009

KARNIVAL SUKANEKA KANAK KANAK 2009





Program ini merupakan program anjuran Jiran Wanita yang merupakan salah satu unit yang bernaung di bawah KRT BTS 'A'.

Sebanyak lebih 100 penyertaan telah diterima dan majlis berlangsung dengan meriah sekali. Pelbagai acara seperti jalan atas bata, masuk air dalam botol guna sponge, jalan kepit belon dan sebagainya telah diadakan.

Kerjasama daripada penduduk adalah amat memberangsangkan.

Tahniah dan syabas kepada KRT BTS 'A' khususnya kepada Jiran Wanita yang dipimpin oleh Puan Shima.

MAJLIS KENDURI KAHWIN ENCIK MOHD RAIS BIN UDIN





Majlis ini telah dijayakan sepenuhnya oleh KRT BTS 'A' memandangkan Encik Rais bin Udin adalah merupakan seorang penduduk yang amat rapat dengan KRT BTS 'A'.

Semua kerja kerja yang perlu telah diuruskan secara gotong royong oleh penduduk dengan dipandu oleh KRT BTS 'A' seawal sehari sebelum majlis berlangsung.

Majlis ini amat meriah sekali dan turut dihadiri oleh jemputan pelbagai kaum.

KRT BTS 'A' mendoakan kebahagiaan yang berkekalan dan penuh keberkatan ke atas Encik Mohd Rais bin Udin dan keluarganya.

Tahniah, terima kasih dan syabas untuk KRT BTS 'A'.

FUTSAL 3 ON 3 REMAJA BANDAR TASEK SELATAN





Sebanyak 30 pasukan yang terdiri daripada 120 orang remaja sekitar Cheras telah menyertai program ini. Program ini berjaya menjadi suatu pemangkin kepada pembenihan kepada perpaduan kaum kerana remaja pelbagai kaum telah menyertainya.

Program ini telah disempurnakan perasmiannya secara bersama oleh Ybhg Cik Noradilah binti Adam yang mewakili Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional Wilayah Persekutuan dan Ybhg al-Fadhil Ust Hassim bin Abdul Ghani al-Hafiz yang mewakili Masjid al-Muqarrobin Bandar Tasek Selatan.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat iaitu pihak penaja dan pihak urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.

Tahniah dan Syabas KRT BTS 'A'.

Sunday, March 1, 2009

GOTONG ROYONG KRT BTS BERSAMA PENDUDUK BLOK C





Tarikh
1 Mac 2009

Hari
Ahad

Masa
8.30 pagi – 1.00 tengahari

Tempat
Perkarangan Blok C

Aktiviti gotong royong ini adalah merupakan aktiviti pertama KRT Bandar Tasek Selatan untuk tahun 2009. Setelah beberapa mesyuarat dan perbincangan diadakan, akhirnya aktiviti ini berjaya dijalankan.

Hampir 70 orang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Jawatankuasa Kerja Penduduk Blok C juga turut memberikan kerjasama yang amat memberangsangkan. Kerjasama ini diharapkan akan menjadi pemangkin untuk kerjasama yang seterusnya.

Di antara kerja kerja yang dilakukan adalah seperti mencuci tangga, mengecat dinding dan mencuci longkang. Kerja mencuci longkang adalah kerja yang paling berat dan mencabar kerana terdapat pelbagai benda di dalamnya. Contohnya, ketulan batu, rekahan batu, besi buruk, kertas, pakaian dan sebagainya.

Selain itu, air juga bertakung di dalam longkang di sekeliling Blok C kerana terdapat mendapan pasir setinggi sejengkal di dalamnya. Air yang bertakung ini telah menyebabkan longkang tersebut berbau busuk dan menjadi syurga kepada jentik jentik dan nyamuk.

Hasil kerjasama yang diberikan oleh semua yang hadir, masalah longkang kotor dan tersumbat ini telah berjaya di atasi.

Kaum ibu juga turut serta dalam program ini. Walaupun tidak banyak kerja yang mampu mereka lakukan, namun kaum ibu telah bertungkus lumus menyediakan jamuan ringan untuk semua yang hadir.

Tahniah KRT Bandar Tasek Selatan, Jawatankuasa Kerja Penduduk Blok C dan penduduk Blok C.

Wednesday, February 18, 2009

MESYUARAT PERTAMA KRT BANDAR TASEK SELATAN BAGI TAHUN 2009


Tarikh
20 Februari 2009

Hari
Jumaat

Masa
9.00 malam

Tempat
Bilik Gerakan Rukun Tetangga

Diharapkan semua yang terlibat termasuk jemputan dapat hadir ke mesyuarat ini bagi membincangkan perancangan tahunan KRT Bandar Tasek Selatan bagi tahun 2009

SENARAI LENGKAP JAWATANKUASA KRT BANDAR TASEK SELATAN SESSI 1 JANUARI 2009 – 31 DISEMBER 2010


Pengerusi
Encik Mohd Fadli bin Jaini

Timb. Pengerusi
Encik Shuhairi bin Alang Hassan

Setiausaha
Encik Harun bin Jantan

Penolong Setiausaha
Encik Nazaruddin bin Abd Rahman

Bendahari
Encik Abdul Ghani bin Zakaria

AJK :-

Puan Siti Shaharini binti Nahal
Encik Nazri bin Hj Othman
Puan Hashimah bini Mat Lana
Encik Harun bin Abdullah
Encik Mohd Sakri bin Che Mat
Puan Norkahamissah binti Md Reduan
Encik Shamsudin bin Md Zan
Encik Wan Ahmat Kamar bin Wan Hussin
Encik Azhar bin Ismail
Encik Mohd Noor bin Yusof
Encik Mohd Zainud Diyad bin Yaakob
Encik Zainal bin Tan
Encik Mohd Rizal bin Long
Encik Mat Yusri bin Saffar
Encik Ismail bin Mohd Said
Puan Norisah binti Osman
Encik Jahid bin Sariat
Encik Yusop bin Puteh Abdul Rafor
Puan Rosesiah binti Sharif
Puan Azian binti Hassan


Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan pemilihan dan perlantikan ini. Buat pimpinan KRT Bandar Tasek Selatan, jawatan ini adalah amanah. Jagalah amanah ini dengan sejujur mungkin. Semoga KRT Bandar Tasek Selatan akan terus maju dan berjaya. Tahniah.

Tuesday, February 10, 2009

JOM KACAU BUBUR ASYURA






Tarikh : 1 Februari 2009

Hari : Ahad

Masa : 8 pagi – 2 petang

Tempat : Perkarangan Blok C



Atas inisiatif beberapa orang ahli Jiran Wanita dengan diketuai oleh Puan Hashimah binti Mat Lana, program ini telah dapat dijalankan dengan jayanya.

Program bermula seawal jam 8 pagi lagi di mana para penduduk telah turun beramai-ramai untuk merendam dan merebus bahan-bahan yang diperlukan. Kaum bapa juga tidak ketinggalan untuk turut serta.

Walaupun ketiadaan Ketua Tukang Masak @ Puan Melah binti Baba amat dirasai namun kesungguhan semua yang hadir telah membuatkan bubur asyura yang dimasak itu siap dengan sempurna.

Kaum ibu pula secara spontan telah menyediakan makan tengahari yang agak ringkas tetapi amat menyelerakan.

Sebanyak lebih 100 bungkusan bubur asyura telah berjaya disiapkan dan telah diagih-agihkan kepada penduduk yang turut serta.

Tahniah kepada KRT Bandar Tasek Selatan khususnya Jiran Wanita KRT Bandar Tasek Selatan di atas kejayaan menganjurkan program ini.

KARIVAL SEMARAK CINTA MASJID


Tarikh : 31 Januari 2009

Hari : Sabtu

Masa : 8 pagi – 1 tengahari

Tempat : Masjid al-Muqarrobin – SMK Bandar Tasek Selatan



KRT Bandar Tasek Selatan telah diminta oleh pengurusan masjid untuk menguruskan Pertandingan Futsal Remaja Masjid yang dianjurkan bersempena dengan Karnival Semarak Cinta Masjid.

Sebanyak 15 pasukan yang terdiri daripada anak-anak remaja yang tinggal di sekitar Bandar Tasek Selatan telah mengambil bahagian di dalam pertandingan ini.

Selain futsal, terdapat pelbagai pertandingan lain yang turut dianjurkan. Di antaranya, Pertandingan Azan, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Menganyam Ketupat untuk orang dewasa.

Karnival ini telah berjalan dengan begitu meriah walaupun cuaca panas terik.

Pihak Masjid al-Muqarrobin telah mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh KRT Bandar Tasek Selatan.

Monday, December 29, 2008

MAJLIS BACAAN YASEEN DAN TAHLIL SEMPENA MA'AL HIJRAH


Tarikh : 28 Disember 2008

Hari : Ahad

Masa : 9.00 malam

Tempat : Unit B – 3 – 3 – Kediaman Encik Harun bin Jantan

Syukur kepada Allah swt kerana apa yang telah dirancang telah selamat dilaksanakan. Kehadiran penduduk yang dipimpin oleh pimpinan KRT Bandar Tasek Selatan amat memberangsangkan dan amat membanggakan. Boleh dikatakan kehadiran mencecah 100 orang. Kehadiran ini juga menunjukkan bahawa KRT Bandar Tasek Selatan masih diberikan kepercayaan oleh pihak penduduk penempatan ini.

Selain daripada ahli KRT Bandar Tasek Selatan, majlis ini turut mendapat sokongan daripada pihak penduduk, jemaah Masjid al-Muqarrobin Bandar Tasek Selatan juga turut sudi hadir bagi menambahkan keberkatan majlis.

Tahniah kepada KRT Bandar Tasek Selatan.........anda tetap di hati.

Friday, December 26, 2008

TIRAI 2008 DILABUHKAN DENGAN 1001 KENANGAN



Suasana di tahun 2008 amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan suasana di tahun 2007. Kekuatan KRT Bandar Tasek Selatan telah bertambah kepada lebih 100 orang lebih lebih lagi selepas Skim Rondaan Sukarela dilancarkan.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan dan dikendalikan oleh komiti yang dilantik pada tahun ini. Antaranya :

Pertandingan Futsal Perpaduan Daerah Cheras 2008

Kem Padu Anak Malaysia 2008

Karnival Padu Anak Malaysia 2008 di Putrajaya

Majlis Tahlil dan Bacaan Yaseen sempena Merdeka dan Ramadhan

Jamuan Hari Raya ‘Edul Fitri bersama anak yatim, ibu tunggal, OKU dan golongan kurang bernasib baik

Program Masyarakat – Kacau Dodol

dan sebagainya

Boleh dikatakan hampir setiap bulan dipenuhi dengan aktiviti anjuran KRT. Semuanya bertujuan untuk menyatupadukan penduduk di kawasan penempatan ini. Semangat gotong-royong yang digunapakai oleh KRT Bandar Tasek Selatan ini telah berjaya menambat hati penduduk.

Buktinya, penduduk tetap membanjiri Majlis Jamuan Hari Raya 2008 yang dianjurkan oleh komiti yang dilantik. Walaupun tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana pihak kecuali beberapa individu, pihak komiti masih mampu menghulurkan bantuan dan duit raya kepada anak yatim, ibu tunggal, OKU dan golongan kurang bernasib baik ketika penganjuran majlis ini. Semuanya merupakan hasil usaha gigih dari hati yang ikhlas oleh keluarga KRT Bandar Tasek Selatan.

Tahun 2008 juga tidak sunyi daripada tohmahan buruk dan busuk yang dilemparkan kepada KRT Bandar Tasek Selatan. Tohmahan yang paling mencabar ialah KRT Bandar Tasek Selatan dituduh sebagai penyokong parti pembangkang. Ini merupakan tuduhan tanpa “akal waras” oleh individu-individu “desperado”.

Tidak dinafikan bahawa pendokong KRT Bandar Tasek Selatan terdiri daripada penyokong dan ahli pelbagai parti politik atau pendeknya KRT Bandar Tasek Selatan dianggotai oleh ahli dan penyokong UMNO, PAS dan PKR.

Perbezaan ideologi politik ini sebenarnya langsung tidak memporak perandakan perpaduan yang wujud. Malah, kepelbagaian ini diraikan sebaik mungkin atas dasar hormat-menghormati. Perbezaan ini tidak pernah mendatangkan bibit-bibit perpecahan di kalangan penduduk yang bersama-sama dengan KRT Bandar Tasek Selatan.

Ini menunjukkan bahawa para pendokong KRT Bandar Tasek Selatan adalah kelompok yang mempunyai jiwa merdeka dan matang berpolitik.

Tohmahan ini bagaimanapun telah berjaya diatasi hasil kebijaksanaan dan kesabaran pendokong KRT Bandar Tasek Selatan.

Tahun 2008 juga menyaksikan KRT Bandar Tasek Selatan juga telah menjadi pilihan tunggal kepada penduduk sekiranya mereka ingin mengadakan kenduri-kendara. Bagi meringankan beban penduduk, pihak komiti yang dilantik telah berjaya mendapatkan beberapa buah khemah beserta kelengkapan kerusi meja yang setakat ini dipinjamkan secara percuma kepada penduduk.

Hasil jimat cermat yang dipimpin oleh Bendahari juga telah membolehkan pihak KRT Bandar Tasek Selatan membeli kelengkapan dan peralatan penting yang diperlukan untuk mengadakan kenduri.

Kelengkapan dan peralatan ini kemudiannya telah menjadi pemangkin kepada munculnya pasukan tukang masak KRT Bandar Tasek Selatan. Kewujudan kelengkapan dan peralatan ini juga telah merangsang minda pendokong KRT Bandar Tasek Selatan apabila aktiviti mengacau dodol telah diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini.

Bagi menghargai komitmen para pendokong, komiti KRT Bandar Tasek Selatan telah mengendalikan program Hari Keluarga KRT BTS 2008 bertempat di Impian Country Resort, Hulu Langat. Ini sebenarnya merupakan program Hari Keluarga yang kedua yang dianjurkan oleh KRT Bandar Tasek Selatan.

Jumlah keluarga yang menyertai program ini juga meningkat hampir sekali ganda dan jumlah acara sukaneka juga turut ditambah.

Tahniah buat barisan pimpinan KRT Bandar Tasek Selatan yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Fadli bin Jaini. Tahniah juga buat komiti Jiran Wanita kerana berjaya menjadi contoh ibu yang baik.

Tahniah dan seribu penghargaan buat pasangan yang tidak jemu jemu membantu KRT Bandar Tasek Selatan iaitu pasangan Encik Mohd Rizal bin Long dan Puan Melah binti Haji Baba serta pasangan Encik Zainal bin Tan dan isterinya Kak Noor (maaf kerana tak ingat nama penuh). Andalah pelengkap kepada komiti KRT Bandar Tasek Selatan ini.

Semoga pendokong KRT Bandar Tasek Selatan terus menerus dikurniakan kesihatan yang berkat supaya terus dapat membantu kejayaan KRT ini.

Semoga tahun 2009 yang akan datang menjanjikan seribu kejayaan buat KRT Bandar Tasek Selatan.

Tahniah KRT Bandar Tasek Selatan………………anda hebat.

MEMORI 2007........SEPINTAS LALU



Tahun 2007 merupakan tahun pertama Kawasan Rukun Tetangga Bandar Tasek Selatan beroperasi. Semuanya merupakan hasil usaha dan keprihatinan beberapa orang penduduk yang mengambil berat soal keselamatan dan perpaduan di kawasan penempatan ini.

Bermula dengan hanya kurang 25 pendokong, kelompok ini sebaik mungkin telah bekerjasama “berjaga malam” bagi menjamin keselamatan di sini. Walaupun dipandang sinis oleh sebilangan penduduk, kelompok ini tetap istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Hasilnya, jumlah kecurian motosikal telah dapat dikurangkan walaupun masih berlaku.

Penduduk di kawasan penempatan ini mula memberikan perhatian kepada KRT Bandar Tasek Selatan selepas perasmian penubuhan dilakukan. Satu majlis perasmian yang agak “grand” telah disusun oleh komiti yang telah dilantik. Pelbagai acara dan aktiviti telah diatur supaya majlis perasmian ini menjadi meriah dan ceria.

Hampir 200 orang kanak-kanak berumur bawah 12 tahun telah mendaftar untuk menyertai Pertandingan Mewarna yang dikendalikan oleh urusetia sambutan. Selain itu, sambutan terhadap gerai jualan dan pameran juga tidak kurang hebatnya.

Kaum ibu berganding bahu menyiapkan makanan dan sajian manakala kaum bapa pula bertungkus lumus mempastikan segalanya berjalan lancar. Kemeriahan dan kemesraan yang wujud kelihatan seperti sambutan Hari Keluarga di mana setiap kanak-kanak yang hadir diiringi oleh ibu dan bapa masing-masing.

Walaupun terdapat pelbagai kelemahan, namun majlis perasmian ini masih boleh dibanggakan dan komitinya masih layak untuk menerima pujian kerana secara umumnya mereka telah berjaya “menghidangkan” falsafah dan gerak kerja perpaduan untuk dihadami dan difahami oleh penduduk setempat.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan oleh KRT Bandar Tasek Selatan di sepanjang tahun 2007. Antaranya :

Jamuan Hari Raya ‘Edul Fitri 2007 bersama ibu tunggal, anak yatim, OKU dan golongan yang kurang bernasib baik

Pertandingan Street Soccer Remaja 2007

Pertandingan Futsal Perpaduan 2007

Kem Smart Solat Remaja 2007

Program Rakan Muda Jiran Muda 2007

Hari Keluarga KRT BTS 2007

dan sebagainya

Selain itu, KRT Bandar Tasek Selatan juga telah menghantar peserta untuk menyertai beberapa program anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan. Antaranya :

Kem Padu Anak Malaysia di Taman Rimba Sungai Congkak

Pertandingan Street Soccer sempena Hari Perpaduan peringkat Wilayah Persekutuan di PPR Kerinchi

dan sebagainya

Hasil kesungguhan yang ditunjukkan oleh keluarga KRT Bandar Tasek Selatan telah mendapat perhatian daripada sebilangan penduduk apabila penduduk mula bertemu dan berbincang dengan komiti yang dilantik sekiranya mereka ingin mengadakan kenduri kahwin. Pihak KRT Bandar Tasek Selatan telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan majlis kenduri kahwin ini bermula daripada A sampai Z.

Walaupun kelihatan seperti “tiada apa-apa halangan” ketika mengendalikan aktiviti, namun kepahitan dan kepedihan tetap dirasakan apabila banyak program yang dianjurkan oleh KRT Bandar Tasek Selatan kelihatan seperti cuba disabotaj oleh individu-individu tertentu.

Contohnya; individu-individu yang kononnya “prihatin” ini telah memberikan tekanan kepada pihak pemaju agar menghalang pihak KRT Bandar Tasek Selatan daripada menganjurkan Pertandingan Street Soccer atas alasan “nanti rumput mati”.

Alasan yang diberikan ini kelihatan logik sekirannya diperhalusi sebaiknya.

Hasil beberapa perbincangan dengan pihak pemaju, akhirnya keizinan tetap diperolehi dan pertandingan tersebut tetap dijalankan. Bagi KRT Bandar Tasek Selatan, tidak mengapa sekiranya rumput itu yang mati tetapi janganlah jatidiri, maruah dan akhlak remaja itu yang mati. Rumput yang mati itu akan tumbuh semula tetapi remaja yang rosak itu sukar sekali untuk dijinakkan semula.

Namun, apa yang paling sukar untuk dilupakan adalah “perintah” daripada pihak pemaju yang mahukan KRT Bandar Tasek Selatan mengosongkan bilik gerakan. Dalam erti kata lain, atas desakan dan tekanan pihak-pihak tertentu yang cemburukan kesungguhan KRT Bandar Tasek Selatan, pihak pemaju telah menghalau dan menghalang KRT Bandar Tasek Selatan daripada terus menggunakan ruangan sempit yang telah berfungsi sebagai bilik gerakan itu.

Syukur kepada Allah swt kerana hasil perbincangan dengan beberapa pihak dan penglibatan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan sendiri, maka ruangan sempit itu masih kekal sebagai bilik gerakan sehingga sekarang.

Suatu perkara yang membanggakan adalah apabila tekanan demi tekanan dan halangan demi halangan yang diterima telah dipandang secara positif oleh anggota KRT Bandar Tasek Selatan. Perpaduan yang wujud semakin kukuh dan padu.

Sama-samalah kita mendoakan agar perpaduan ini akan terus berdiri dan mendoakan agar individu-individu yang mencemburui KRT Bandar Tasek Selatan itu mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah swt.

Jutaan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan terutamanya Pejabat Perpaduan Daerah Cheras yang banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat kepada kami.

Tahniah KRT Bandar Tasek Selatan………………………komitmen anda tetap ditagih.